Wednesday, 17 December 2014

Pesan Atuk

Cucu-cucu sekelian!
Dengarlah ini Atuk beri pesanan.Atuk bukan nak turunkan sebarang petua memancing, bukan juga berbangga-bangga menghebahkan zaman gemilang Atuk sebagaiseorang pengail. Atuk Cuma ingin memberi sedikit nasihat. Mana-mana nasihat yang cucu boleh terima, jadikanlah panduan mengharungi dunia pancingan.

Dunia telah semakin tua. Di sana-sini ramai benar rakan-rakan yang seangkatan dengan Atuk merungut perkara yang sama.Dunia memancing telah hilang serinya. Tanyalah sesiapa sahaja  apakah keseronokan yang ingin diperolehi dari dunia serba hanyir ini? Keseronokan bukan terletak pada masa yang dibuang untuk menunggu umpan terendam selama berjam-jam atau melepas dan mengarau jig berulang-ulang, bukan juga pada
saat menyusuri sungai dan lautan menaiki bot fiber atau kapal nelayan. Pastinya jawapan paling tepat tentulah saat-saat indah ketika bertarung dengan ikan. Jadi kenikmatan apakah lagi yang mampu digarap dari dunia memancing jika tiada lagi ikan di sungai dan lautan?

Cucu-cucu ku sekelian...
Atuk telah melalui zaman ikan begitu mudah diperolehi. Ikan terlalu banyak hingga bila kuak air sahaja, pasti terlihat kelibat ikan berenang. Mengail dengan berjorankan buluh masih boleh menghasilkan ikan cukup untuk lauk makan tengahari dan malam. Tidak usah pergi jauh. Parit belakang rumah tempat Atuk dan rakan-rakan belajar berenang semasa zaman kanak-kanak
dahulu pun sudah memadai untuk mengail keli sekati dua. Zaman itu sangat mewah dengan ikan hinggakan ikan emas pun boleh dilihat berenang-renang di parit-parit kecil.Sebenarnya Atuk sedih bila mengenangkan cucu-cucu semua tidak lagi dapat merasa zaman mewah ikan sebegitu. Parit dan sungai sudah lama tercemar oleh racun rumpai. Kawasan yang dahulunya hutan telah berubah wajah menjadi kebun kelapa sawit seluas mata memandang. Sukar sekali mendapatkan lubuk
untuk melepaskan ketagih bertarung dengan ikan. Parit-parit yang ada nampak lesu tanpa kocakan penghuninya.Laut lepas yang menjadi gedung ikan juga memberi khabar yang serupa. Pendapatan nelayan merosot jauh berbanding sepuluh tahun dahulu. Bagaimana pula pendapatan mereka sepuluh tahun akan datang? Hasil tangkapan ikan akan terus merosot dari tahun ke tahun. Kalau dahulu amat mudah mendapatkan tetanda dan ikan putih melalui kaedah pancingan pantai, sekarang sukar sungguh memancing di pantai walau seekor ikan belukang.

Atuk mahu ketengahkan sikap sebahagian rakan memancing Atuk yang menyumbang kepada kepupusan ikan. Salah satu puncanya ialah membuang sampah merata-rata. Pemancing sebegini harus dihukum pungut sampah merata-rata, baru padan mukanya.Kalau sampah jenis mesra alam seperti kertas dan kulit buah-buahan yang mudah lupus, itu masih boleh dimaafkan walaupun sakit mata memandang. Malangnya dunia sudah tidak dapat dipisahkan dari penggunaan bekas yang diperbuat dari plastik.Pencemaran plastik berlaku secara global. Kalau plastik ditanam dalam tanah, jangka masa 20 tahun belum tentu dapat menguraikan plastik sepenuhnya. Hal yang sama berlaku dalamhabitat ikan. Plastik yang dibuang di tepi sungai lambat laun akan memasuki sistem saliran jua. Apatah lagi yang dibuang terus ke dalam sungai. Dalam masa beberapa hari, ia akan menghanyut ke muara dan akhirnya menuju ke laut. Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Sabah ke atas Sungai Inanam,jumlah sampah plastik yang dipungut dari sungai tersebut dalam masa sejam mencapai berat lima kilogram. Bayangkanlah kemusnahan yang boleh dilakukan oleh sampah plastik ke atas kehidupan marin. Mangsa pertama ialah batu-batu karang tempat ikan berlindung akan ditutupi oleh plastik hingga membunuhnya. Plastik hanyut yang pelbagai warna dilihat oleh penyu dan tuntung sebagai obor-obor. Penyu yang memakannya akan menghadapi masalah menghadam dan akan mengalami kematian.

Cucu-cucu sekelian... Janganlah cucu-cucu semua
meninggalkan sebarang sampah terutama plastik di medan pancing. Cubalah contohi masyarakat Jepun. Seorang sahabat Atuk yang menuntut di Osaka memberitahu, tiada sebarang tong sampah disediakan di jalan-jalan raya di sana. Anehnya tidak
kelihatan pula sebarang sampah dibuang merata-rata. Bila ditanya ke mana sampah sarap dibuang, seorang penduduk memberitahu mereka tidak membuang sampah sebaliknya menyimpan di dalam beg untuk dibuang di rumah.Di hujung karier Atuk sebagai seorang pemancing, kerap kedengaran satu konsep mesra alam. Ikan yang dipancing akan ditangkap gambar kemudian dilepaskan semula. Rakan-rakan Atuk ketawa bukan kepalang mendengar saranan yang diwar-warkan dalam majalah berkaitan ikan. Mereka semua sudah lama
mengamalkan tangkap dan lepas. Cuma konsep lepas yang mereka amalkan ialah lepaskan ikan yang ditangkap ke kotak penyejuk!Sehingga setakat ini, ramai rakan-rakan Atuk melepaskan ikan-ikan tertentu sahaja tanpa bergambar dengan ikan tersebut.Sebabnya… ikan yang dilepaskan semula itu tidak glamour. Ikan
pengacau, kata mereka. Spesis yang dimaksudkan ialah ikan belukang dan ikan buntal.

Cucu-cucu sekalian... Buntal dan belukang adalah sebahagian dari alam. Mungkin ia tidak berguna kepada generasi pemancing tetapi Allah ciptakan makhluk dengan fungsi tersendiri. Kepada habitat
air, buntal dan belukang adalah sebahagian dari pelengkapnya.Atuk terfikir betapa sukarnya menjadi makhluk bernama ikan.Pencemaran berlaku di mana-mana. Nak mencari makanan pun
susah. Silap haribulan termakan mata kail bersalut umpan,diheret manusia yang terkinja-kinja keseronokan. Atuk pernah tercucuk mata kail, sakit bukan kepalang. Agaknya macamana rasa kalau badan manusia dicucuk mata kail dan ditarik dengan
sekuat tenaga?

Cucu-cucu sekelian…
Walau di mana pun cucu memancing, hindarkan perasaan tamak haloba. Ambillah ikan secukup lauk sahaja. Jangan terfikir hendak mencari laba. Ingatlah pesanan agama, buat sesuatu biar sederhana.Habitat ikan telah dimusnahkan oleh generasi Atuk dengan pelbagai cara. Semuanya berkesan belaka untuk mendapatkan ikan dalam kuantiti yang banyak. Dan dalam masa yang singkat pula. Di sungai-sungai dan tasik, jaring, tuba dan karan digunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Rawai, pukat tunda dan bom pula memusnahkan karang dan benih ikan
di muara dan laut.

Atuk meminta maaf kepada cucu-cucu di atas keterlanjuran generasi Atuk menghapuskan habitat ikan dan keseimbangan ekosistem yang ada. Atuk berharap sangat mana-mana lubuk yang masih tinggal cucu kekalkanlah sebaik mungkin. Biarlah generasi Atuk sahaja dikenali sebagai pemusnah habitat ikan. Cucu-cucu tak usah meniru jejak langkah kami yang ternyata salah langkah.Di tangan cucu-cucu semua terbeban satu tugas berat untuk memulihara habitat ikan.

Hasil nukilan : Taulani Tukiran dari Kota Marudu,Sabah

No comments:

Post a Comment

About Us

Recent

Random